16 September 2011

SUTARDJI JAHIL TENTANG PENULIS-PENULIS MALAYSIA?

 Tan Sri Ismail Hussain, Ketua 1 GAPENA, dalam stu pose temubual denagan penulis rencana, A.F.Yassin di Rumah Gapena, 2007.


Rencana ini telah disiarkan dalam dalam Ruangan "Sastera dan Budaya", Berita Harian, 2 Ogos 1999 yang lalu, dengan judul "Gapena Hanya Buang Masa: Sutardji".

"Seniman perlu ada semangat amok," kata Sutardji Calzoum Bachri, ketika membentangkan kertaskerjanya dalam Kolokium Penulisan Kreatif di Daik-Lingga, Riau 7 Julai lalu. Sutardji berkata demikian di hadapan kira-kira 80 orang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari lima negara di Daik Lingga di Balai Pertemuan Kelurahan Daik di Jalan Masjid Sultan Lingga. Maksud semangat amok ini boleh ditafsir berbagai-bagai. Hamzah Hamdani yang ikut serta menafsirkan sebagai penulis mestilah berani melahirkan karya besar yang kadang-kadang menongkah arus. Ada pula yang menilai Sutardji melepaskan geram kerana kecewa tidak dapat yang dia mahukan.

Tentang Gapena Suratdji menilai badan itu selama ini mengadakan kegiatan yang sia-sia, Tidak ada hasil yang konkrit seperti penerbitan buku setelah berlangsungnya sesuatu kegiatan. Sutardji kesal rancangan Gapena hanya "membuang masa, tenaga dan wang. "Hanya sia-sia lebih kepada kegiatan basa-basi. Kegiatan Gapena lebih kepada mencari Melayu di mana saja," ujarnya.

Para peserta yang hadir bercakap sesama sendiri, sebagai memberikan reaksi pro-dan kontra terhadap pandangan Sutardji. Di luar balai, reaksi semakin gencar. Ada yang marah dan ada pula yang kesal dengan penilaian Sutardji terhadap kegiatan Gapena. Saya melihat ada kesatuan dalam membidas sikap kurang sopan Sutardji dari peserta-peserta Malaysia. Hampir semuanya mempertahankan Gapena, terutama Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satunya.

"Tak patut Sutardji berkata begitu," kata Tengku Alias Taib. "Nampak sangat dia ini dengki. Perli kawan-kawan seperti Taufik Ismail dan Rendra yang mendapat layanan istimewa dari Kerajaan Malaysia. Tengku Alias menambah, "biar orang lain mengakui kita penyair besar. Tak perlulah kita angkat diri sendiri. Saya rasa dia hendak layanan seperti Taufik, terbitkan puisinya, beri layanan baik seperti yang diterinma Rendra dan Taufik dan beri anugerah RM5,000 seperti Taufik."

Akhirnya Tengku Alias menilai Sutardji terlalu membesarkan diri bila berkata puisi Taufik tidak bernilai sedangkan "puisi-puisi Taufik dalam bukunya Aku Malu Menjadi Bangsa Indonesia sungguh tinggi nilainya berbanding sesetangah puisi Sutardji."

Peserta Sabar Bohari turut tidak berkenan dengan pandangan Sutardji dan mempertahankan Gapena yang selama ini telah berbuat banyak dalam meningkatkan martabat sastera Malaysia di mata dunia. Sementara beberapa peserta Malaysia lain mempersoalkan kridibiliti Sutardji dalam menilai usaha Gapena. "Siapa Sutardji? Dia orang luar dan tidak sepatutnya memperli kegiatan Gapena. Barangkali dia kecewa kerana tidak dapat kerana Gapena dan Malaysia tidak memilihnya menerima Anugerah sastera Nusantara baru-baru ini," kata seorang peserta.

"Lihat saja aksinya di pentas. Dengan cara dia menghisap paip dan matanya meliar ke sana ke mari seperti dia tidak menunpukan perhatian kepada kolokium. Biarkan dia seperti Si Luncai terjun dengan labu-labunya," marah peserta lain. Lau disambut seorang lagi peserta, "Biarkan, biarkan."

Sutardji Luncai? Tidak. Dia bajak wangkang makan diangkat, kata seorang. Malah ada menuduhnya kurang sopan apabila berbicara. Dan dia bicara di depan peserta yang sebahagian besarnya dari Malaysia dan kebanyakannya penulis mapan dan ahli akademik yang punya nama. Ada yang menilai bahawa Sutardji terlalu geram dan kecewa dengan Malaysia kerana kononnya dia tidak dianggap setaraf dengan Rendra dan Taufik. Lalu dia menjadikan Gapena kambing hitamnya. Terdengar juga suara marah-marah dari peserta Malaysia yang menghentam Sutardji dari sudut peribadi yang kurang enak dicatatkan.

Saya tanyakan Hamzah Hamdani tentang kriteria pemberian anugerah sastera Nusantara di Johor Bahru baru-baru ini. Jawabnya ada beberapa yang perlu dilihat. Pertama karya terbaru seseorang calon penerima. Kedua usaha dan kegiatan dan penglibatannya dalam membina dan mengembangkan produk kesusasteraan kepada masyarakat khalayak dan ketiga sumbangan pemikiran calon penerima terhadap dunia kesusasteraan di negara masing-masing, khasnya.

Maka dalam hal ini memang wajar Taufik Ismail dipilih untuk menerima anugerah, terutama apabila dilihat sumbangan kegiatan dan pemikirananya dalam menjayakan Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-9 dua tahun lalu di Bukit Tinggi dan Padang di Sumatra Barat. Umumnya semua orang mengakui Sutardji seniman besar di Indonesia, malah oleh Ismail Hussein, Sutardji dianggap seniman tulen. Sutardji punya wawasan yang ideal untuk membina kesusasteraan yang biasanya dimilik semua seniman tulen. Wawasan itu kadang-kadang terlalu ideal untuk berpijak di bumi nyata. Sedangkan apa yang dilakukan Gapena ialah mencari jalan tengah untuk merealisi wawasan kesusasteraan berdasarkan realiti semasa.

"Apa yang dilakukan oleh Gapena banyak juga faedahnya. Paling-paling perkampungan di Daik ini dapat mempertemukan penulis-penulis dari kelima-lima negara di Nusantara. Malah Sutardji pun dapat datang sambil bermesra dengan para penulis, " kata Rejab F.I. Manakala peserta dari Yayasan Warisan Johor, Ahmad Ruslan bertanya "apakah dia (Sutardji) akan kecam begitu jika sekiranya dia dapat Anugerah Sasterawan Nusantara itu?" Sutardji tidak menjawab.

Saya melihat reaksi peserta Malaysia seperti menujukkan satu patriotisme dalam kesusasteraan, ketika berada di luar negeri. Kita sama-sama maklum reaksi negatif sesetengah penulis terhadap usaha Gapena di dalam negeri, tapi nyatanya reaksi seumpama itu tidak terlihat pada hari kedua di Daik, iaitu hari berlangsungnya kolokium. Semangat kebersamaan ini menarik.

Apapun jua, sebilangan penulis muda dari Riau yang hadir menilai positif pandangan Sutardji. Bagi mereka sepatutnya panitia yang bertanggungjawab mengadakan perkampungan seperti ini perlu memikirkan bagaimana satu usaha konkrit perlu dilakukan bagi menerbitkan karya-karya yang lahir daripada pertemuan seperti ini. "Penulis muda perlukan wadah penampungan karya mereka." Seorang peserta Malaysia senyum simpul mendengar cadangan penulis muda Riau ini. Katanya kepada saya, "Suruhlah pertubuhan sastera awak (negaranya) terbitkan karya, bukanya Gapena."

Demikian pagi itu, ada dua kelompok suara yang menghangatkan kolokium di Balai Pertemuan Kelurahan Daik. Apapun jua Rejab khabarnya telah mendapat restu Gapena untuk menyelenggarakan sebuah antologi cacamerba (puisi, cerpen, rencana atau apa saja coretan dari Daik) yang bakal diterbitkan Gapena sendiri. Rejab meminta jasa baik kawan-kawan yang turut sama dalam perkampungan itu untuk memberikan sumbangan. Kurang pasti apakah tindakan Rejab ini berputik daripada kecama Sutardji terhadap Gapena atau memang Rejab telah memikirkannya lama sebelum dia sampai di Daik. Apapun jua, ramai yang percaya bahawa Sutardji telah memberi satu suntikan yang sedikit mengejutkan kepada setiap yang hadir hari itu. Sesi kedua dan petangnya kembali menenangkan suasana dan pembentang dan peserta lebih bersikap rasional berdisiplin. Tidak ada lontaran pendapat dan pandangan yang kontraversi. Seperti kata seorang peserta "carik-carik bulu ayam di sidang pagi akhirnya bercantum juga di sebelah petangnya." Sementara seorang peserta lain berkata bahawa lontaran Sutardji tidak menjadi kudis kepada perkampungan."

Kolokium yang sepatutnya diadakan satu hari setengah itu dapat diselesaikan dalam masa sehari. Khabarnya ada beberapa pembentang kertas kerja tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Hujan tengahari menyebabkan tidak ramai yang hadir pada sesi petang. Daripada hasil perbincangan sehari itu satu Deklarasi Daik diisytiharkan pada malam terakhir di Daik. Deklarasi yang disusun oleh Sutardji Calzoum Bachri, Taufik Ikram Jamil, Hamzah Hamdani, Al azhar, Masran Sabran, Yusmar Yusuf dan seluruh peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun adalah hasil perbincangan kolokium dan dibacakan oleh Drs Syafrial Syamsuddin selaku Ketua Pelaksana Perkampungan. Deklarasi itu berbunyi:

1. Adalah suatu kenyataan bahawa bahasa merupakan mahkota kebudayaan Melayu yang penggunaannya tersebar pada sejumlah negara di Asia Tenggara.

2. Oleh kerana sastera merupakan mahligai bahasa maka sepatutnya kegiatan sastera memperoleh perhatian yang khas dalam kegiatan kebudayaan Melayu. Perhatian khas dimaksud antara lain berupa penerbitan buku bersama atau penampilan seni sastera.

3. Mengembangkan rasa saling memiliki karya sastera tersebut melalui semua sarana.

4. Deklarasi ini dibuat setelah mengamati dan mempertimbangkan fikiran mahupun perasaan yang muncul dalam Perkampungan Penulis Melayu Serumpun tajaan Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau (P2BKM UNRI) di Daik, 4 - 8 Julai 1999.

A.F.YASSIN
Daik Lingga
7 Julai 1999

06 September 2011

SEMBAH ADAT DI RANAH MINANG

Allahyarham Keris Mas pernah melanjutkan pelajarannya di Bukit Tinggi di Tawalib School, SMA dn kemudian di Kolej Kulitul Muslimin Al-Islamiah.

SEMBAH ADAT DI PAGAR RUYUNG

 Kota Padang menyambut rombongan Jejak Bahasa TV3-DBP dengan keramahan masyarakat Padang. Pak Wisran Hadi, budayawan dan sasterawan Sumatera Barat telah menunggu di terminal Lapangan Terbang Padang. Masalah membawa 39 buah beg berisi kelengkapan kamera TV3 dapat diselesaikan dengan segera, kerana barangkali pengaruh tokoh seperti Wisran.


Di hotel penginapan, Bumi Minang, Dr Awang Sariyan, yang sampai siangnya menyambut  12 anggota rombongan yang  yang bertolak dari Jakarta, dua jam terlewat. Awang berharap akan dapat bersama-sama mengalami proses penggambaran di Sumatera Barat, walaupun beliau akan pulang riga hari kemudian.

Tidak termasuk dalam jadual penggambaran ialah upacara kerapatan adat di Istana Besar Pagarruyung. Kebetulan majlis itu diadakan sempena perlantikan salah seorang waris keturunan Raja Pagarruyung sebagai Bupati Kabupaten Tanah Datar. Majlis itu juga diadakan kerana menyambut kedatangan salah satu keluarga diraja di Serei Menanti,Negeri Sembilan. Biasanya keluarga diraja Negeri Sembilan itu akan mengunjungi istana besar ini sempena kedatangan bulan Puasa.

Rombongan dijemput khas menghadiri upacara penuh istiadat ini. Maka pada 8 November kami bertolak dari Padang menuju istana di Batu Sangkar. Hampir semua penghulu adat dari seluruh kabupaten (Daerah) Tanah Datar berdatang sembah untuk meraikan perlantikan Bupati baru Tanah Datar, Marsiadi Martunus. Upacara ini mendapat sorotan meluar dari TVRI dan disiarkan sebelah petangnya dalam Berita Jam Enam.

Bagi kami kesempatan itu benar-benar menjadi mercu tanda ingatan, apatah lagi ketika semua anggota rombongan, khususnya Awang Sariyan dan Othman Ismail, pengurus projek Jejak Bahasa diberikan penghormatan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Datuk-Datuk Penghulu Adat yang jumlahnya hampir seratus orang. Yang menarik daripadas upcara ini ialah kata-kata perbilangan adat yang saling menyambut di kalangan datuk-datuk adat. Kami tidak begitu jelas dan kurang memahaminya bukan kerana ia dituturkan dalam bahasa Minang tetapi kerana perbilangan itu terlalu cepat dituturkan. Kami hanya sempat mendengar tentang kebulatan masyarakat seperti bulat air kerana pembetungan bulat manusia kerana muafakat. Ada juga kami mendengar perbilangasn adat bersendi kepadas syarak manakala syarak bersendi kepada kitabullah.

Upacara keraian adat ini berlansung dengan penuh istiadat dan bagi ketua projek, Dr Awang, kehadiran rombongan amat memberi kesan kepada bukan sahaja projek jejak bahasa tetapi juga projek bahasa secara keseluruhan dilihat dasri sudut kebudayaan dan istiadat Melayu. Katanya, “Kita tidak tergelincir dari tujuan asal program kita menjejaki bahasa kerana kita melihat pertumbuhan dan pengembangan bahasa  bukan setakat bahasa per se. Juga saya melihat dengan kehadirasn kita semacam memberi satu jalur baru terutama dengan Bapak Bupati Tanah Datar, Pak Marsiadi, yang juga salah seorang kerabat kedaulatan Yang Dipertuan Pagarruyung.”

Selain itu, Dr Awang amat gembira kerana Jejak Bahasa dapat mengungkapkan peranan bahasa dan kebudyaan dan kehdiupan masyarakat Minang. Pertemuan dengan beberapa orang tokoh penting seperti A.A. Navis dan Wisran Hadi di Padang amat memberi manfaat kepada usaha Dewan Bahasa dan Pustaka memulakan hubungan kebahasaan dengan masyarakat penulis tetapi juga pusat pengajian tinggi di Sumatera Barat, khususnya Universiti Andalas.

Pertemuan dengan Ibu Adriyati Amir, Pembantu Dekan I di Fakulti Sastera, Universiti Andalas pada 9 November berlansung cukup akadamis. Kedua-dua pihak – DBP dan Fakultas Sastera Universiti Andalas – sependapat bahawa hubungan lebih dekat perlu diteruskan untuk misalnya mengadakan penerbitan naskhah lama.

Dari sudut penggambaran pula penerbit TV3, Zailan Abdul Rahman  bagaikan tidak cukup watu untuk menyiapkan “shot-shot” menarik. Zailan dengan bantuan lima orang krunya mempunyai agenda paling ketat untuk sekadar membuat “shot”untuk dua peristiwa. Misalnya di majlis kerapat adat di Pagarruyung, Zailan menhabiskan masa sehingga  satu hari mengadakan penggambaran. Setengah hari untuk merakamkan kerapatan adat dan setengah hari lagi merakamkam randai yang diadakan sebelah petang. Faktor cuaca yang tidak menentu turut mempengaruhi pemnggambaran. Sebelah petangnya, hujan turun dan penggambaran terpakasa ditangguhkan untuk beberapa ketika.

Zailan yang benar-benar peka tentang sudut-sudut dan latar penggambaran sesuatu peristiwa menghadapi masalah untuk merakamkan acara “kaba”yang telah diaturkan di Universiti Andalas. Menurutnya, latar yang digunakan untuk “Kaba” tidak sesuai. Kaba merupakan acara bercerita yang dilagukan dengan iringan serunai. Bagi Zailan latar yang sesuai untuk acara pembacaan kaba ini ialah suasana hening dan romantik seperti di tengah sawah atau di depan rumah gadang Minang.

Maka akhirnya dipilih satu tempat yang berlatar belakangkan sawah padi dengan gunung ganang di belakangnya. Tempat itu terletak kiras-kira lima kilometer dari universiti. Timbul masalah. Bagaimana mahu mengangkat pertalatan penggambaran. Sebabnya untuk sampai ke tempat penggambaran, kami perlu meniti permatang sawah yang licin dan berlumpur. Pujian perlu diberikan kepada setiap kru TV3 dapat menyelesaikan masalah itu. Mereka begitu sabar membawa alat-alat penggambaran itu satu demi satu. Oleh kerana mereka membawa satu kamera maka adegan membaca “kaba”ini diadakan berulang kali. Penggambaran memakan masa hampir tiga jam untuk hanya tayangan tidak lebih daripada satu minit.

Pada Malam terakhir di Padang sebelum menuju Bukit Tinggi DBP-TV3 meraikan Bupati Tanah Datar, Masriadi, Timbalan Bupati Solok, Elvi Sahlan dan pengarang A.A.Navis dalam satu majlis makan malam di Kota Padang. Dr Awang dalam ucapan alu-aluannya berharap kerjasasma erat dalam bidang kebudyaan, khususnya kebahasaan dapat dijalin dengan kedua-dua bupati dan fakulti sastera, Universiti Andalas. Ini satu titik mula yang amat menyenangkan. 

Kedua-dua bupati dari Tanah Datar dan Solok ini melihat pertemuan malam itu sebagai pemula daripada satu hubungan jangka panjang yang “bisa dimanfaatkan kedua-dua pihak.” Mereka mengungkapkan bahawa pusat pengajian tinggi akan dan sedang diusahakan di kedua-dua daerah itu. Malah di Tanah Datar “sudah ada pusat pengajian tinggi bertaraf universiti dengan mahasiswanya berjumlah hampir seribu orang. Kedua-dua bupati mengharapkan kunjungan akan lebih banyak diadakan bagi mempererat bukan sahaja hubungan silaturrahim tetapi juga jalinan kebahasaan, persuratan dan kebudayaan.

Bagaimanapun, hasrat A.A.Navis yang disampaikannya dalam majlis makan malam itu amat mengharuku. Navis mahu orang bahasa dari kedua-dua negara – Malaysia dan Indonesia – jangan terlalu egois. Katanya, dalam usaha kita mencari persamaan dan menyatukan dua bahasa, kita sebenarnya menjarakkan kedua-dua bahasa yang sepatutnya disamakan. Navis yakin bahawa ketika ini bahasa Melsayu dan bahasa Indonesia semakin jauh memisahkan dire. Orang Indonesia terlalu ghairah dengan pembentukan kata-kata singkatan atau akronim dan cuba memperkayanya dengan mencari ke dalam bahasa yang sudah “mati”(sanskrit). Di Malaysia pula tokoh bahasanya terlalu ghairah membentuk  kata-kata dari bahasa Inggeris.

Navis memberi contoh. Ketika di Malaysia dia terdengar orang bercakap melalui telefon bimbitnya, “ Don’t worrylah. Insya Allah!” Sementara di Indonesia dia mendengar pula percakapan seperti, “Kakan pusdiklat.”  Ini bahasa apa? Tanyanya. Navis tidak mengerti. Navis juga melihat banyaknya perbezaan kata dan istilah yang membawa orang tidak mengerti. Contoh nyata Navis ialah perkataan “ibu pejabat”. Di Malaysia apakah ibu pejabat perlu dipijak-pijak. Orang Indonesia memahaminya sebagai wanita yang menyandang jawatan pegawai kerajaan. Sedangkan di Malaysia ibu pejabat adalah kantor  bagi Indonesia.

Perbezaan yang diakibatkan oleh sikap egois kedua-dua pihak dalam bidang bahasa ini membuat Navis pusing (bukan berpusing-pusing, katanya sacara bercanda). Makanya di depan dua Bupati, dia mohon jasa baik mereka agar sesuatu perlu dilakukan untuk menjalin rasa kebersatuan dalam bahasa Malaysia dan Indonesia. Hasrat Navis ini cukup lantang dan merupakan satu permintaan daripada seorang pengarang terkenal Indonesia. “Suasana dan situasi di Indonesia hari ini memungkinkan  pesoalan itu bisa diselesaikan,” katanya.

Selepas majlis makan malam, saya melihat wajah Awang yang ceria berseri. Segera saya teringatkan kata-katanya semasa berada di Mekah beberapa bulan yang lalu. Awang mempelawa saya untuk sama-sama menjayakan program Jejak Bahasa yang akan diterbitkan bersama DBP dan TV3. Awang menjelaskan tujuan program yang leboh menumpukan kepada pertumbuhan dan pengembangan bahasa dilihat dari perspektif tamadun Melayu dan kebudayaan sejak zamanlampau. Katanya berulang kali bahawa program ini bukan memaparkan bahasa per se. Dan hal inilah juga yang sering dikatakan berulang kali dalam setiap mesyuarat post-mortem dan preview yang diadakan hampir setiap malam. Sebabnya ada satu dua anggota rombongan yang masih lagi mempersoalkan beberapa aspek  dan objek penggambaran yang dilakukan kru TV3 yang menurutnya tidak relevan.
Padang, 10 November 2000

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).